Isnin, 13 Mei 2013

baling vs lontar

Dalam Kamus Dewan, erti baling diterangkan dengan memberi contoh baling batu dll yang dibubuh pd tali dan dilemparkan dengan menghayunkannya terlebih dahulu mengelilingi kepala; manakala membaling diberi maksud melempar, tetapi contoh yang diberi ialah Gadis-gadis menyambut dan menanam anak-anak padi yang dibaling oleh teruna-teruna. Contoh tentang melempar atau membaling itu rasanya kurang tepat.
Perbuatan baling atau melempar mestilah membawa maksud sesuatu perbuatan yang ada sasaran, misalnya membaling ayam, atau melempar ayam; tetapi contoh di atas tadi anak-anak padi yang dibaling itu tadi, baling adalah lebih tepat jika digunakan lontar. Namun, dalam kamus yang sama, perkataan lontar diberi maksud dengan satu contoh iaitu lontar lembing (cakera dll) (Suk), yang menggambarkan acara suk (sukan). Saya lihat contoh ini memang tepat jika digunakan perkataan lontar. Malangnya, contoh yang diberi bagi melontar ialah ia melontar lembu itu; melontar jamrah (muka surat 956).
Kesimpulannya kita lihat dari contoh-contoh di atas penggunaan baling, lempar dan lontar diperlihatkan sama maksud, tetapi pada masa yang sama kita boleh lihat ada perbezaan antara baling atau lempar dengan lontar, jika dilihat dari contoh yang diberi; ada contoh perbuatan yang ada sasarannya, dan ada pula yang tiada. Lontar lembing, lontar cakera dalam sukan adalah perbuatan yang tiada sasaran, manakala melontar lembu itu menunjukkan ada sasarannya iaitu lembu.
Bagi saya adalah lebih tepat jika yang ada sasaran itu kita gunakan perkataan baling atau lempar, manakala yang tiada sasaran digunakan lontar; jadi melontar peluru, melontar lembing, melontar cakera dalam sukan itu betul dan tepat, sementara yang satu lagi itu gunakan baling, lempar. Jadi dengan ini maka melontar jamrah itu tidak tepat kerana ada sasarannya; walaupun sudah menjadi kebiasaan penggunaannya, maka kita harus terima contoh itu tidak tepat. Apakah kata pakar bahasa?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan