Selasa, 28 Oktober 2014

DBP vs Bahasa Chat

Pagi ni tiba-tiba sahaja saya terlintas untuk menyentuh masalah pengguna bahasa chat yang semakin berleluasa. Keadaan ini menimbulkan satu persoalan di kepala saya, iaitu apakah tindakan atau apakah peranan yang diambil oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) - apakah DBP sudah mula respond atau sedang memerhatikannya atau ........!
Kelihatannya bahasa chat sudah meresap ke dalam bilik-bilik akademik seperti di sekolah-sekolah sama ada sekolah rendah mahupun menengah. Saya yang telah lama meninggalkan dunia pendidikan tidak tahulah sama ada penyakit bahasa chat ini sudah menular ke dalam penulisan kertas peperiksaan atau tidak, tetapi mendapati telah ada tanda-tanda penggunaannya dalam penulisan harian. Buktinya ialah memang sudah kedapatan contengan-contengan di batang-batang pokok atau dinding batu.
Dalam media massa elaktronik juga tidak terlepas dari gejala ini - penggunaan ejaan yang dahulunya tidak pernah kita jumpai kini seperti tidak terkawal. Misalnya ejaan 'datang' dieja dengan dAtAnG. Saya pernah terpandang penggunaan ejaan seperti ini di TV ketika media elektronik ini menayangkan keratan-keratan komen menerusi twiter atau fb. Apakah tiada sesiapa yang mengawalnya.
Saya melihat gejala ini sebagai penyakit yang akan menjadi barah kepada Bahasa Melayu kita. Apalah gunanya kita mengulang-ulang lagu kempen bahasa jika tiada pihak-pihak yang mahu mengambil tahu tentangnya. Bagi saya pihak yang bertanggungjawab ialah DBP. Persoalan: sejauh manakah usaha-usaha yang telah dijalankan oleh badan ini.

Isnin, 20 Oktober 2014

Penggunaan imbuhan 'di'

Saya sedang menonton Majalah 3 TV3 dengan harapan menemui penggunaan imbuhan 'di' yang digabungkan dengan perkataan 'antara'.
Setelah mengikuti siaran tersebut selama antara 10-15minit saya mendapati beberapa kali penggunaan perkataan antara telah digunakan dengan betul.
Selalunya perkataan antara digabungkan dengan 'di' oleh kebanyakan media massa sama ada media elektronik mahupun media cetak dengan cara yang tidak betul. Jadi penemuan saya setakat ini memberi gambaran awal bahawa TV3 berjaya menggunakan perkataan antara dengan betul - tidak digabung dengan 'di' dengan cara yang salah seperti yang saya tuliskan sebelum ini. TahniahTV3.
Saya terus menunggu siaran Majalah 3 dengan harapan menemui kesalahan penggunaan antara yang digabung dengan 'di' namun gagal. Lalu saya tinggalkan siaran tersebut.
Sekian coretan ringkas kali ini.