Selasa, 28 Oktober 2014

DBP vs Bahasa Chat

Pagi ni tiba-tiba sahaja saya terlintas untuk menyentuh masalah pengguna bahasa chat yang semakin berleluasa. Keadaan ini menimbulkan satu persoalan di kepala saya, iaitu apakah tindakan atau apakah peranan yang diambil oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) - apakah DBP sudah mula respond atau sedang memerhatikannya atau ........!
Kelihatannya bahasa chat sudah meresap ke dalam bilik-bilik akademik seperti di sekolah-sekolah sama ada sekolah rendah mahupun menengah. Saya yang telah lama meninggalkan dunia pendidikan tidak tahulah sama ada penyakit bahasa chat ini sudah menular ke dalam penulisan kertas peperiksaan atau tidak, tetapi mendapati telah ada tanda-tanda penggunaannya dalam penulisan harian. Buktinya ialah memang sudah kedapatan contengan-contengan di batang-batang pokok atau dinding batu.
Dalam media massa elaktronik juga tidak terlepas dari gejala ini - penggunaan ejaan yang dahulunya tidak pernah kita jumpai kini seperti tidak terkawal. Misalnya ejaan 'datang' dieja dengan dAtAnG. Saya pernah terpandang penggunaan ejaan seperti ini di TV ketika media elektronik ini menayangkan keratan-keratan komen menerusi twiter atau fb. Apakah tiada sesiapa yang mengawalnya.
Saya melihat gejala ini sebagai penyakit yang akan menjadi barah kepada Bahasa Melayu kita. Apalah gunanya kita mengulang-ulang lagu kempen bahasa jika tiada pihak-pihak yang mahu mengambil tahu tentangnya. Bagi saya pihak yang bertanggungjawab ialah DBP. Persoalan: sejauh manakah usaha-usaha yang telah dijalankan oleh badan ini.

Isnin, 20 Oktober 2014

Penggunaan imbuhan 'di'

Saya sedang menonton Majalah 3 TV3 dengan harapan menemui penggunaan imbuhan 'di' yang digabungkan dengan perkataan 'antara'.
Setelah mengikuti siaran tersebut selama antara 10-15minit saya mendapati beberapa kali penggunaan perkataan antara telah digunakan dengan betul.
Selalunya perkataan antara digabungkan dengan 'di' oleh kebanyakan media massa sama ada media elektronik mahupun media cetak dengan cara yang tidak betul. Jadi penemuan saya setakat ini memberi gambaran awal bahawa TV3 berjaya menggunakan perkataan antara dengan betul - tidak digabung dengan 'di' dengan cara yang salah seperti yang saya tuliskan sebelum ini. TahniahTV3.
Saya terus menunggu siaran Majalah 3 dengan harapan menemui kesalahan penggunaan antara yang digabung dengan 'di' namun gagal. Lalu saya tinggalkan siaran tersebut.
Sekian coretan ringkas kali ini.

Ahad, 24 Ogos 2014

Wahai DJ Radio Klasik 98.3

Saya adalah peminat siaran Radio Klasik sejak mula dilancarkan lagi. Tidak perlulah disebutkan di sini mengapa saya meminatinya, yang jelas kerana saya adalah orang lama yang sudah hidup sejak tahun 40an lagi.
Saya hendak menarik perhatian para DJ siaran ini agar mengambil inisiatif mempelajari tentang pantun, kerana saya dapati setipa kali ada pantun yang dibaca sebenarnya bukanlah pantun, bukan juga syair, yang saya pasti nada penyampaiannya adalah seperti membaca pantun.
Buat sementara waktu ini saya hanya mampu menegur secara umum sahaja. InsyaAllah satu masa yang terdekat nanti akan saya turunkan ciri-ciri pantun dan bagaimana mengenali pantun yang betul mengikut kaedah penulisan yang saya pelajari sejak dulu lagi.
Wahai DJ,
Untuk sementara waktu ini biarlah saya tarik perhatian sdr/sdri ciri-ciri pantun dari aspek pembayang dan maksud; kebanyakan pantun yang sdr/sdri baca itu tidak menepati ciri-ciri ini. Antara lain lagi ialah ciri-ciri ABAB bagi setiap rangkap pantun; begitu jelas sekali kesilapan yang terjadi.
Jadi buat sementara waktu, saya berpandangan agar pembacaan pantun itu ditangguhkan sehingga para DJ dan mungkin penerbitnya juga mengenalinya dengan yakin supaya dapat menapis pantun-pantun kiriman para pendengar.
Maaf dan terima kasih.

BAHASA JIWA BANGSA.