Khamis, 6 Ogos 2009

Penggunaan ‘di’ digunakan secara sembrono

Sekali lagi saya ingin menyentuh tentang penggunaan ‘di’, yang bagi saya, telah digunakan secara sembrono. Saya sengaja menyentuh penggunaannya dari aspek yang hampir sama dengan catatan saya yang terdahulu. Tujuan saya adalah untuk menunjukkan kesilapan bahasa dalam dunia kewartawanan.

Kali ini saya cuba meninjau dari akhbar Harakah, keluaran 3-6 Ogos 2009. Saya sengaja memilih tajuk yang saya kira ditulis oleh Pengarang, atau pemberita yang senior. Tanpa prejudis, saya memilih tajuk ‘Mengapa pemimpin Umno buta konsep federalisme?” muka surat F4.

Para 1, terdapat ayat, ‘… seakan-akan orang yang tidak menghormati demokrasi dan konsep persekutuan di negara ini.’ Bagi saya, ayat ini bermaksud, ada orang yang tidak menghormati demokrasi dan konsep persekutuan sebuah negara lain. Dengan kata lain, sebagai contoh, pendatang Indonesia tidak menghormati demokrasi dan konsep persekutuan Indonesia, berlaku di negara ini. Walhal, maksud penulis ialah demokrasi dan konsep persekutuan kita, Malaysia. Mengapa ‘di’ digunakan dalam ayat ini? Bagi saya tidak lain, adalah kerana penggunaan secara sembrono. Jadi ayat ini sepatutnya, berbunyi, ‘‘… seakan-akan orang yang tidak menghormati demokrasi dan konsep persekutuan negara ini.

Berikut adalah beberapa petikan lagi yang menunjukkan ‘di’ yang disalahguna:

Salah (petikan)

Pembetulan ‘di’ digugurkan

‘Apakah ini standard menteri di Malaysia yang bertaraf 1Malaysia?’

‘Apakah ini standard menteri Malaysia yang bertaraf 1Malaysia’

‘Sebenarnya punca besar yang menyebabkan Melayu mundur kerana terdapat di negara ini menteri macam …’

‘Sebenarnya punca besar yang menyebabkan Melayu mundur kerana terdapat menteri negara ini macam …’

Terdapat juga kesilapan penggunaan ‘di’ yang sepatutnya bermaksud ‘dalam’, ‘bagi’ dan sebagainya. Contoh, ‘…terus menanamkan semangat rasis di kalangan ahli dan penyokongnya.’ ‘di’ dalam potongan ayat ini sepatutnya ‘dalam’ kerana ‘kalangan’ bukannya perkataan nama tempat. Jika ‘di’’tempat’ atau ‘keterangan tempat’ maka betul. Misalnya, ‘di dapur’, ‘di belakang rumah’. Lihat panduan penggunaan ‘di’ yang saya petik dari buku yang ditulis oleh Prof Sofiah Karim, di laman ini juga.

Satu aspek lagi yang ingin saya sentuh ulang ialah penggunaan ‘di’ sebagai imbuhan. Sebagai imbuhan ‘di’ sepatutnya dirapakan kepada perkataan di hadapannya. Contoh dari artikel yang sama, ‘… di negeri yang di menangi oleh …’ yang sepatutnya ‘dimenangi’ sekadar satu contoh. Sebenarnya banyak lagi contoh-contoh yang boleh ditemui di akhbar-akhbar, seperti yang terdapat dalam catatan saya yang terdahulu.

Kesimpulannya, bagi saya penggunaan ‘di’ sudah jadi tonggang terbalik, atau yang saya kodkan sebagai penggunaan yang sembrono. Wallahu-a’lam.

BAHASA JIWA BANGSA.