Jumaat, 20 Februari 2009

Penggunaan 'di'

Saya berminat juga tentang bahasa. Kerana itu, sambil saya membaca akhbar, saya menyempatkan diri meneliti penggunaan bahasanya. Saya rasa terpanggil untuk menurunkan pendapat dan pandangan saya tentang kesalahan-kesalahan yang saya temui. Untuk permulaan, saya mengambil bahan dari akhbar Suara Keadilan keluaran 17-24 Feb 2009, kerana kesalahan ini begitu jelas dan mudah bagi saya untuk membuat pembetulan.

Bagi saya kesilapan tentang ejaan dalam akhbar masih boleh diterima kerana kekangan masa, terutama bagi akhbar terbitan harian. Namun, bagi akhbar terbitan dua minggu sekali seperti akhbar yang saya sebutkan tadi, kekangan masa tidak dapat diterima kerana terbitannya hanya dua minggu sekali. Jadi bagi saya, kesalahan ejaan adalah kelalaian pengarang.

Jika soal ejaan ini dianggap sebagai soal remeh, lebih menekankan kepada mesej yang hendak disampaikan, maka saya amat kesal, kerana semua pihak mengaku untuk berjuang mendaulatkan bahasa. Justeru, dalam menyediakan bahan untuk tatapan umum, maka kita tidak boleh lari dari menjaga penggunaannya dengan setepat yang mungkin.

Seperti yang saya sebutkan lebih awal tadi, saya ingin menyentuh tentang penggunaan ‘di’ yang terdapat dalam muka surat 31 bertajuk ‘Bukti Selangor berjaya merakyatkan ekonomi – Azmin’. Berikut adalah beberapa petikan yang berkenaan:
· ‘.... setelah hampir tiga tahun di aniaya oleh kerajaan BN ketika mentadbit Selangor dahulu’
· ‘... seperti apa yang telah di alami penduduk Kampong berembang dan di Ulu Klang’
· ‘... hampir semua kawasan di selangor telah di kenalpasti untuk di jalankan pelbagai pembangunan ...’
· ‘... selain bekalan air bersih percuma yang sedang di nikmati oleh rakyat Selangor sekarang’
· “Ini dapat dibuktikan bila ada pilihanraya kecil maka segala pembangunan, bantuan dan sogokan di berikan kekawasan tersebut semata-mata...”
Kesilapan penggunaan ‘di’ dalam contoh-contoh di atas adalah sangat tidak patut terjadi kerana ianya adalah soal asas, yang sangat mudah difahami, walaupun oleh murid Tahun 3 sekolah rendah.

Soal penggunaan ‘di’ hanya dua keadaan yang perlu diingat. Satu, ‘di’ sebagai imbuhan dan ‘di’ sebagai sendi. Jika digunakan kepada perkataan ‘kata kerja’ atau ‘kata kerja terbitan’ maka ‘di’ adalah sebagai imbuhan. Untuk ini, ‘di’ hendaklah dirapatkan dengan perkataan di hadapannya. Jadi, dalam petikan di atas tadi, sepatutnya, ‘dianiya’ (rapat) bukan ‘di aniaya’ (jarak), kerana aniaya adalah perkataan kata kerja. Sama juga halnya dengan ‘di berikan’, yang sepatutnya ‘diberikan’. Jadi perkataan-perkataan berwarna dalam contoh di atas sepatutnya ‘di’ dirapatkan dengan perkataan berikutnya, iaitu ‘dialami’, ‘dikenalpasti’, ‘dijalankan’, ‘dinikmati’ (rapat).

‘di’ hendaklah dirapatkan juga penggunaannya, jika diikuti dengan ‘kata kerja terbitan’ seperti ‘hitamkan’ maka dieja dengan ‘dihitamkan’. Contoh-contoh lain, seperti ‘dipanjangkan’, ‘dikosongkan’, ‘dimaklumkan’, ‘diutarakan’ dan ‘dikembalikan’. Kata dasarnya ‘hitam’, panjang’, kosong’, maklum’, ‘utara’, ‘kembali’ adalah bukan ‘kata kerja’. Perkataan ini menjadi ‘kata kerja’ setelah diberi imbuhan ‘kan’.

Kedua, ‘di’ sebagai sendi. Secara umum, bolehlah dinyatakan di sini, bahawa ‘di’ yang diikuti dengan perkataan-perkataan selain kata kerja, maka hendaklah dijarakkan. Jadi ‘di’ di sini akan menjadi sendi. Contohnya ‘di’+(‘kata nama’ tempat) seperti, ‘di Bangi’, ‘di sana’, ‘di atas’, di belakang’, ‘di utara’, ‘di dewan’ dan sebagainya.

Kesimpulannya, ‘di’ hendaklah dirapatkan dengan dengan perkataan ‘kata kerja’ atau ‘kata kerja terbitan’, selainnya hendaklah dijarakkan. Bagi saya, panduan penggunaan ‘di’ ini sangat mudah difahami dan diingati. Itulah sebabnya saya rasa amat tidak patut berlaku kesilapan seperti yang terdapat dalam artikel yang tersebut tadi.

Saya perasan, kesilapan-kesilapan ini sudah lama terjadi, termasuk dalam akhbar-akhbar lain. Malangnya sehingga hari ini belum berubah seolah-olah tiada siapa atau mana-mana pihak yang mengambil tahu. Lantas saya teringatkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Apakah tiada unit-unit tertentu dalam DBP yang memantau tentang penggunaan bahasa dalam akhbar? Wallahu-a’lam.