Isnin, 16 Mac 2009

Awalan di-

Awalan di- ialah awalan yang digabungkan dengan kata dasar untuk membentuk kata kerja ayat pasif bagi ayat-ayat yang subjek asalnya terdiri daripada pelaku orang ketiga.

(a) Bentuk awalan di-
Awalan di- sebagai pembentuk kata kerja pasif mempunyai hanya satu bentuk, iaitu di-, contohnya:
sapu, disapu; tulis, ditulis; pukul, dipukul; ambil, diambil; baca, dibaca

(b) Gabungan kata yang dapat bergabung dengan awalan di-
Awalan di- dapat bergabung dengan kata dasar golongan kata kerja dan kata nama.

kata kerja: tulis, ditulis; panjat, dipanjat; suruh, disuruh; tarik, ditarik; olah, diolah

Kata nama: gulai, digulai; hukum, dihukum; jerat, dijerat; panah, dipanah; serkap, diserkap

Kebanyakan kata nama yang menerima awalan di-, menerima juga akhiran –kan dan –i untuk menjadikannya kata kerja transitif.

(c) Jenis kata kerja berawalan di-
Seperti yang telah diterangkan, kata kerja yang dibentuk dengan awalan di- ialah kata kerja ayat pasif yang subjek asalnya terdiri daripada orang ketiga.

Contohnya: gulai, digulai; hukum, dihukum; jerat, dijerat; panah, dipanah; serkap, diserkap.

Contoh dalam ayat:
· Surat itu ditulis oleh adik saya.
· Pokok-pokok kelapa itu dipanjat oleh pekerja kontrak.
· Tali yang panjang itu ditarik oleh murid-murid itu.
· Ikan merah digulai oleh ibu.
· Penjahat itu dihukum oleh tuan hakim.

Kata kerja pasif yang berawalan di- di atas mempunyai bentuk aktif yang menerima awalan meN-, seperti dalam contoh yang berikut:
Aktif / Pasif:
menulis/ditulis; memanjat/dipanjat; menarik/ditarik; menggulai/digulai; menghukum/Dihukum

(d) Aspek makna awalah di-
Tidak terdapat makna khusus pada awalan di- selain pembentuk kata kerja pasif untuk orang ketiga.

* Safiah, Nik dll. 2004. ‘Tatabahasa Dewan, Edisi Baharu, hlm. 168-170.


Kata sendi nama ‘di
Kata sendi nama di digunakan khusus di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat. Kata sendi nama ini ditulis terpisah daripada kata nama atau frasa nama yang mengikutinya. Contoh dalam ayat:
· Ibunya berkerja di sekolah itu.
· Pengembara itu sesah di dalam hutan.
· Beg tangannya terletak di atas meja.
· Pertunjukan itu diadakan di Kota Bharu.
· Semua peserta berkumpul di dalam dewan.
Kata sendi nama di tidak boleh digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menerangkan waktu, masa, atau zaman. Contohnya:
Betul / Salah:
Raja Iskandar memerintah pada zaman itu. / Raja Iskandar memerintah di zaman itu.
Suasana amat tenang pada pagi yang permai itu. / Suasana amat tenang di pagi yang permai itu.
Dia masih bujang pada ketika itu. / Dia masih bujang di ketika itu.
Burung-burung pulang ke sangkarnya pada waktu senja. / Burung-burung pulang ke sangkarnya di waktu senja.
Kegemilangan kerajaan Melayu Melaka memuncak pada kurun ke-15. / Kegemilangan kerajaan Melayu Melaka memuncak di kurun ke-15.


* Safiah, Nik dll. 2004. ‘Tatabahasa Dewan, Edisi Baharu, hlm. 252-253.