Saya sedang menonton Majalah 3 TV3 dengan harapan menemui penggunaan imbuhan 'di' yang digabungkan dengan perkataan 'antara'.
Setelah mengikuti siaran tersebut selama antara 10-15minit saya mendapati beberapa kali penggunaan perkataan antara telah digunakan dengan betul.
Selalunya perkataan antara digabungkan dengan 'di' oleh kebanyakan media massa sama ada media elektronik mahupun media cetak dengan cara yang tidak betul. Jadi penemuan saya setakat ini memberi gambaran awal bahawa TV3 berjaya menggunakan perkataan antara dengan betul - tidak digabung dengan 'di' dengan cara yang salah seperti yang saya tuliskan sebelum ini. TahniahTV3.
Saya terus menunggu siaran Majalah 3 dengan harapan menemui kesalahan penggunaan antara yang digabung dengan 'di' namun gagal. Lalu saya tinggalkan siaran tersebut.
Sekian coretan ringkas kali ini.
Saya adalah peminat siaran Radio Klasik sejak mula dilancarkan lagi. Tidak perlulah disebutkan di sini mengapa saya meminatinya, yang jelas kerana saya adalah orang lama yang sudah hidup sejak tahun 40an lagi.
Saya hendak menarik perhatian para DJ siaran ini agar mengambil inisiatif mempelajari tentang pantun, kerana saya dapati setipa kali ada pantun yang dibaca sebenarnya bukanlah pantun, bukan juga syair, yang saya pasti nada penyampaiannya adalah seperti membaca pantun.
Buat sementara waktu ini saya hanya mampu menegur secara umum sahaja. InsyaAllah satu masa yang terdekat nanti akan saya turunkan ciri-ciri pantun dan bagaimana mengenali pantun yang betul mengikut kaedah penulisan yang saya pelajari sejak dulu lagi.
Wahai DJ,
Untuk sementara waktu ini biarlah saya tarik perhatian sdr/sdri ciri-ciri pantun dari aspek pembayang dan maksud; kebanyakan pantun yang sdr/sdri baca itu tidak menepati ciri-ciri ini. Antara lain lagi ialah ciri-ciri ABAB bagi setiap rangkap pantun; begitu jelas sekali kesilapan yang terjadi.
Jadi buat sementara waktu, saya berpandangan agar pembacaan pantun itu ditangguhkan sehingga para DJ dan mungkin penerbitnya juga mengenalinya dengan yakin supaya dapat menapis pantun-pantun kiriman para pendengar.
Maaf dan terima kasih.
Dalam Kamus Dewan, erti baling diterangkan dengan memberi contoh baling batu dll yang dibubuh pd tali dan dilemparkan dengan menghayunkannya terlebih dahulu mengelilingi kepala; manakala membaling diberi maksud melempar, tetapi contoh yang diberi ialah Gadis-gadis menyambut dan menanam anak-anak padi yang dibaling oleh teruna-teruna. Contoh tentang melempar atau membaling itu rasanya kurang tepat.
Perbuatan baling atau melempar mestilah membawa maksud sesuatu perbuatan yang ada sasaran, misalnya membaling ayam, atau melempar ayam; tetapi contoh di atas tadi anak-anak padi yang dibaling itu tadi, baling adalah lebih tepat jika digunakan lontar. Namun, dalam kamus yang sama, perkataan lontardiberi maksud dengan satu contoh iaitu lontar lembing (cakera dll) (Suk), yang menggambarkan acara suk (sukan). Saya lihat contoh ini memang tepat jika digunakan perkataan lontar. Malangnya, contoh yang diberi bagi melontar ialah ia melontar lembu itu; melontar jamrah (muka surat 956).
Kesimpulannya kita lihat dari contoh-contoh di atas penggunaan baling, lempar dan lontar diperlihatkan sama maksud, tetapi pada masa yang sama kita boleh lihat ada perbezaan antara baling atau lempardengan lontar, jika dilihat dari contoh yang diberi; ada contoh perbuatan yang ada sasarannya, dan ada pula yang tiada. Lontar lembing, lontar cakera dalam sukan adalah perbuatan yang tiada sasaran, manakala melontar lembu itu menunjukkan ada sasarannya iaitu lembu.
Bagi saya adalah lebih tepat jika yang ada sasaran itu kita gunakan perkataan baling atau lempar, manakala yang tiada sasaran digunakan lontar; jadi melontar peluru, melontar lembing, melontar cakera dalam sukan itu betul dan tepat, sementara yang satu lagi itu gunakan baling, lempar. Jadi dengan ini maka melontar jamrah itu tidak tepat kerana ada sasarannya; walaupun sudah menjadi kebiasaan penggunaannya, maka kita harus terima contoh itu tidak tepat. Apakah kata pakar bahasa?
Sekarang ini sedang berlangsung siaran bersiri Program Master Chef Selebriti, di TV Saluran 104. Dalam siri-siri di mana ada proses penyingkiran, kita sering mendengar satu ungkapan Selamat Tinggal yang harus diucapkan atas permintaan Para Master Chef. Penggunaan ungkapan itu rasanya tidak betul, ya tidak betul bukan tidak tepat.
Dalam proses penyingkiran selalunya kelompok yang terlibat yang terdiri daripada, katakan, 7 orang, akan melalui penapisan, dengan memanggil seorang demi seorang, yang akhirnya tinggallah 2 orang sahaja. Dari jumlah 2 orang ini, salah seorang akan disingkir keluar. Ketika inilah kita akan mendengar perintah dari jurulatih Master Chef kepada yang menang supaya mengucapkan Selamat Tinggal kepada yang kalah, yang akan meninggalkan peserta-peserta yang lain. Misalnya yang tinggal hanya si A dan si B sahaja, katakan si B yang kalah; seorang jurulatih akan mengarahkan si A supaya mengucapkan Selamat Tinggal kepada si B.
Bagi saya ungkapan Selamat Tinggal ini adalah salah atau tidak betul, bukan tidak tepat; sepatutnya diucapkan oleh B kepada A, bukan sebaliknya; dengan kata lain ucapan oleh A kepada B yang betul ialah Selamat Jalan. Apa kata saudara saudari?
Sehingga tarikh ini, nampaknya salah guna 'di' dalam berita-berita, dan lain-lain, siaran media utama dan akhbar-akhbar tersohor, masih di tahap yang pernah saya sebutkan sebelum ini. Saya rasa sedikit kecewa atau agak kecewa, kerana DBP dan seangkatannya nampaknya seperti tidak berbuat apa-apa. Makan gaji je la. Ke mana perginya pejuang-pejuang bahasa, Lim Swee Tin, misalnya (tu yang saya kenal), para sasterawan, para pensyarah di Makab Perguruan Bahasa Antarabangsa, dan lain-lain. Agaknya mereka ni melihat masalah ini perkara remeh. Tu pasal, fenomena menunjukkan, memang benar bahasa orang-orang Indon tu walaupun tahap kerja kontrak lebih baik daripada sesetengah ahli akademik kita yang keluar kat tv, radio dan sebagainya. Saya kagum, bagaimana kurikulum mereka sehingga berjaya begitu rupa. Ucapan, malah pada peringkat wawancara spontan, mereka menjawab dengan bahasa yang bernas dan teratur. Ini termasuklah mereka yang bergelar ustaz dan ulama'. Pendek kata memang menggambarkan kejayaan kurikulum mereka. Dan tidak dinafikan mereka dari Sabah dan Sarawak juga mirip seperti orang-orang Indon tu. Entah la.
Sekali lagi saya ingin menyentuh tentang penggunaan ‘di’, yang bagi saya, telah digunakan secara sembrono. Saya sengaja menyentuh penggunaannya dari aspek yang hampir sama dengan catatan saya yang terdahulu. Tujuan saya adalah untuk menunjukkan kesilapan bahasa dalam dunia kewartawanan.
Kali ini saya cuba meninjau dari akhbar Harakah, keluaran 3-6 Ogos 2009. Saya sengaja memilih tajuk yang saya kira ditulis oleh Pengarang, atau pemberita yang senior. Tanpa prejudis, saya memilih tajuk ‘Mengapa pemimpin Umno buta konsep federalisme?” muka surat F4.
Para 1, terdapat ayat, ‘… seakan-akan orang yang tidak menghormati demokrasi dan konsep persekutuan di negara ini.’ Bagi saya, ayat ini bermaksud, ada orang yang tidak menghormati demokrasi dan konsep persekutuan sebuah negara lain. Dengan kata lain, sebagai contoh, pendatang Indonesia tidak menghormati demokrasi dan konsep persekutuan Indonesia, berlaku di negara ini. Walhal, maksud penulis ialah demokrasi dan konsep persekutuan kita, Malaysia. Mengapa ‘di’ digunakan dalam ayat ini? Bagi saya tidak lain, adalah kerana penggunaan secara sembrono. Jadi ayat ini sepatutnya, berbunyi, ‘‘… seakan-akan orang yang tidak menghormati demokrasi dan konsep persekutuan negara ini.’
Berikut adalah beberapa petikan lagi yang menunjukkan ‘di’ yang disalahguna:
Salah (petikan)
Pembetulan ‘di’ digugurkan
‘Apakah ini standard menteri di Malaysia yang bertaraf 1Malaysia?’
‘Apakah ini standard menteri Malaysia yang bertaraf 1Malaysia’
‘Sebenarnya punca besar yang menyebabkan Melayu mundur kerana terdapat di negara ini menteri macam …’
‘Sebenarnya punca besar yang menyebabkan Melayu mundur kerana terdapat menteri negara ini macam …’
Terdapat juga kesilapan penggunaan ‘di’ yang sepatutnya bermaksud ‘dalam’, ‘bagi’ dan sebagainya. Contoh, ‘…terus menanamkan semangat rasis di kalangan ahli dan penyokongnya.’ ‘di’ dalam potongan ayat ini sepatutnya ‘dalam’ kerana ‘kalangan’ bukannya perkataan nama tempat. Jika ‘di’’tempat’ atau ‘keterangan tempat’ maka betul. Misalnya, ‘di dapur’, ‘di belakang rumah’. Lihat panduan penggunaan ‘di’ yang saya petik dari buku yang ditulis oleh Prof Sofiah Karim, di laman ini juga.
Satu aspek lagi yang ingin saya sentuh ulang ialah penggunaan ‘di’ sebagai imbuhan. Sebagai imbuhan ‘di’ sepatutnya dirapakan kepada perkataan di hadapannya. Contoh dari artikel yang sama, ‘… di negeri yang di menangi oleh …’ yang sepatutnya ‘dimenangi’ sekadar satu contoh. Sebenarnya banyak lagi contoh-contoh yang boleh ditemui di akhbar-akhbar, seperti yang terdapat dalam catatan saya yang terdahulu.
Kesimpulannya, bagi saya penggunaan ‘di’ sudah jadi tonggang terbalik, atau yang saya kodkan sebagai penggunaan yang sembrono. Wallahu-a’lam.
Awalan di- ialah awalan yang digabungkan dengan kata dasar untuk membentuk kata kerja ayat pasif bagi ayat-ayat yang subjek asalnya terdiri daripada pelaku orang ketiga. (a) Bentuk awalan di- Awalan di- sebagai pembentuk kata kerja pasif mempunyai hanya satu bentuk, iaitu di-, contohnya: sapu, disapu; tulis, ditulis; pukul, dipukul; ambil, diambil; baca, dibaca
(b) Gabungan kata yang dapat bergabung dengan awalan di- Awalan di- dapat bergabung dengan kata dasar golongan kata kerja dan kata nama.
Kebanyakan kata nama yang menerima awalan di-, menerima juga akhiran –kan dan –i untuk menjadikannya kata kerja transitif.
(c) Jenis kata kerja berawalan di- Seperti yang telah diterangkan, kata kerja yang dibentuk dengan awalan di- ialah kata kerja ayat pasif yang subjek asalnya terdiri daripada orang ketiga.
Contoh dalam ayat: · Surat itu ditulis oleh adik saya. · Pokok-pokok kelapa itu dipanjat oleh pekerja kontrak. · Tali yang panjang itu ditarik oleh murid-murid itu. · Ikan merah digulai oleh ibu. · Penjahat itu dihukum oleh tuan hakim.
Kata kerja pasif yang berawalan di- di atas mempunyai bentuk aktif yang menerima awalan meN-, seperti dalam contoh yang berikut: Aktif / Pasif: menulis/ditulis; memanjat/dipanjat; menarik/ditarik; menggulai/digulai; menghukum/Dihukum
(d) Aspek makna awalah di- Tidak terdapat makna khusus pada awalan di- selain pembentuk kata kerja pasif untuk orang ketiga.
Kata sendi nama ‘di’ Kata sendi nama di digunakan khusus di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat. Kata sendi nama ini ditulis terpisah daripada kata nama atau frasa nama yang mengikutinya. Contoh dalam ayat: · Ibunya berkerja di sekolah itu. · Pengembara itu sesah di dalam hutan. · Beg tangannya terletak di atas meja. · Pertunjukan itu diadakan di Kota Bharu. · Semua peserta berkumpul di dalam dewan. Kata sendi nama di tidak boleh digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menerangkan waktu, masa, atau zaman. Contohnya: Betul / Salah: Raja Iskandar memerintah pada zaman itu. / Raja Iskandar memerintah di zaman itu. Suasana amat tenang pada pagi yang permai itu. / Suasana amat tenang di pagi yang permai itu. Dia masih bujang pada ketika itu. / Dia masih bujang di ketika itu. Burung-burung pulang ke sangkarnya pada waktu senja. / Burung-burung pulang ke sangkarnya di waktu senja. Kegemilangan kerajaan Melayu Melaka memuncak pada kurun ke-15. / Kegemilangan kerajaan Melayu Melaka memuncak di kurun ke-15.
-
*Sembahyang*:
*Sembahyang adalah salah satu Rukun Islam. Rukun bererti asas dan tonggal,
Islam adalah cara hidup. Jadi ibadah ini bukan sekadar untuk ...
Nak jadi orang Islam yang baik kenalah tau apakah tujuan Allah mencipta manusia dan meletakkannya di bumi ini. Kalau tidak, ditakuti lain yang disuruh lain pula yang dibuat. Macam mana nak dapat rahmat Allah.Idea kekhalifahan akan menentukan cara hidup yang akan dirahmati Allah, sekali gus menentukan bentuk dan tujuan beribadah.